INFO INDEKS

 

MUKADIMAH

Al-Quran merupakan petunjuk bagi kehidupan umat manusia. Setiap Muslim perlu berusaha membaca, mempelajari dan memahami Al-Quran dengan sebaik-baiknya supaya Al-Quran benar-benar menjadi pedoman hidup yang dapat membimbing ke arah keselamatan dunia dan akhirat kelak. Hal ini disampaikan secara jelas dalam ayat yang bermaksud: “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” al-Baqarah : 2

Al-Quran adalah kalamullah (firman Allah). Keutamaannya mengatasi segala perkataan, seperti keutamaan Allah SWT atas seluruh makhluk-Nya. Membaca Al-Quran adalah amalan yang paling utama dilakukan oleh lisan. Sebelum amalan ibadah yang lain disyariatkan, perintah yang pertama kali diturunkan Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibrilkepada Nabi Muhammad SAW adalah perintah untuk membaca Al-Quran dan merupakan wahyu yang pertama diturunkan. Ini sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulahyang Maha pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” al-Alaq: 1-5.

ERTI INDEKS

Dalam bahasa Arab istilah indeks lebih dikenali dengan : fahras / fihris, bermaksud senarai isi kandungan sesuatu buku. Biarpun asal perkataan ini diambil daripada bahasa lain, namun penggunaannya meluas selepas Ibnu Nadim menamakan karangannya sebagai Kitab al-Faharast pada tahun 377H.

Indeks juga bermaksud : daftar kata atau istilah penting yang terdapat di dalam sesebuah buku yang dicetak. Kebiasaannya ia diletakkan di bahagian akhir buku tersusun mengikut abjad yang memberi maklumat mengenai halaman tempat kata atau istilah tersebut boleh ditemui.

Secara umumnya, indeks adalah petunjuk yang sistematik kepada kesatuan-kesatuan yang terkandung di dalam sesuatu perkara. Pengertiannya lebih luas dalam ilmu perpustakaan yang menjurus kepada catatan mengenai nilai-nilai daripada pelbagai atribut yang diharapkan dapat digunakan sebagai dasar pencarian maklumat. Apabila atribut yang dimaksudkan adalah subjek, maka bentuk catatan tersebut adalah indeks subjek, dan apabila atribut yang dimaksudkan adalah pengarang maka catatan tersebut adalah indeks pengarang.

FUNGSI INDEKS

        Usaha untuk membina indeks Al-Quran ini sangat penting kerana:

  • Memudahkan pembaca memahami sesuatu kata yang tidak difahami.
  • Mempercepatkan pembaca dan pengkaji ketika ingin mencari suatu dalil bagi topik perbincangan, tema atau rujukan sesuatu hukum.

JENIS INDEKS AL-QURAN

  • Indeks Surah dan Juzuk. Kebanyakan mushaf yang dicetak mempunyai indeks ini yang kebiasaannya diletakkan di bahagian akhir mushaf. Ini bertujuan untuk memudahkan pembaca menemukan halaman sesuatu surah atau juzuk.
  • Indeks subjek : iaitu indeks yang merujuk kepada sesuatu topik atau tematik.
  • Indeks setiap perkataan : iaitu indeks yang merujuk kepada kata terbitan dasar sama ada daripada kata nama (al-Ism) mahupun kata kerja (al-Fi’il) dan pengulangannya di dalam al-Quran termasuk penambahan huruf dan ganti nama ke atas kata tersebut serta kedudukannya di dalam surah dan ayat tertentu.